Analisis Taktikal Piala AFC 2015: South China 1-3 JDT

Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Share on Reddit0
south_china_jdt_leg2_qf

JDT mempamerkan disiplin taktikal yang cemerlang untuk muncul sebagai pasukan pertama dari Malaysia yang layak ke separuh akhir Piala AFC. JDT menewaskan South China 3-1 (agregat 4-2) semalam.

JDT mempunyai 2 misi berbeza pada separuh masa pertama dan kedua dalam perlawanan semalam.

Pada separuh masa pertama, JDT bermula positif untuk memburu away goal. Mereka berjaya melebihi sasaran matlamat separuh masa pertama dengan menjaringkan 3 gol. Walaupun 2 gol tersebut sebenarnya berpunca daripada kesilapan pemain South China sendiri.

Pada separuh masa kedua, matlamat JDT adalah untuk melindungi kelebihan gol mereka. Apatah lagi selepas dipaksa bermain dengan 10 pemain. Dan mereka berjaya mencapai matlamat mereka.

Pelan counter attack South China

Bermain di halaman sendiri dan hanya mempunyai 1 away goal, agak menghairankan apabila South China memilih untuk menyerap tekanan JDT pada 10 minit pertama perlawanan.

Pelan taktikal South China untuk menyerap tekanan dan menyerang balas JDT nampak jelas dalam 10 minit pertama.

Bermain sebagai penyerang tunggal dalam taktikal 4-2-3-1/4-4-1-1, Karpeh Boima kerap turun ke zon jentera tengahnya ketika JDT memegang bola.

Pemain South China tidak memberi tekanan pun kepada Hariss Harun dan Safiq Rahim yang sentiasa turun untuk mengutip bola.

Sebaliknya mereka hanya fokus untuk mengekalkan bentuk defensif (defensive shape) mereka yang kompak dan padat.

jdtsc3 (1)

Apabila berjaya merampas bola, pemain South China akan membuat hantaran jauh kepada Mahama Awal (sayap kanan), Chan Siu Ki (sayap kiri) dan Karpeh Boima (penyerang)

Memang jelas South China mahu memanfaatkan ruang besar di belakang Marcos Antonio dan Aidil Zafuan memandangkan JDT perlu menyerang untuk mara ke separuh akhir.

Bagimanapun taktikal pasif South China ini hanya membuat JDT makin selesa.

Apatah lagi dengan Mahama Awal yang berada di poket Fadzly Mazlan, Chan Siu Ki di poket S. Kunanlan dan Karpeh Boima di poket Marcos Antonio pada separuh masa pertama.

Hubungan Leandro Velazquez-Luciano Figueroa

Salah satu perkara yang menarik dalam perlawanan semalam adalah pergerakan lancar antara pemain sayap kiri JDT, Leandro Velazquez, dengan penyerangnya, Luciano Figueroa.

Jika Safee Sali sentiasa bergerak mengutip bola di ruang yang wujud di antara jentera pertahanan dan tengah South China, Figueroa pula sentiasa mengutip bola di sayap (channel) kiri JDT – tempat Leandro Velazquez beroperasi.

Dengan Figueroa yang bergerak dari tengah ke channel kiri JDT, ia membuka ruang kepada Velazquez untuk bergerak dari sayap kiri ke tengah (cut inside).

Sebagai pemain sayap kiri yang berkaki kanan (inverted winger), Velazquez cenderung untuk cut inside dan mengeksploit ruang yang wujud apabila pertahanan tengah South China mengikut ketat larian pergerakan Figueroa ke channel kiri.

Gerakan yang saling melengkapi inilah yang mencipta gol pertama JDT.

Figueroa bergerak dari tengah ke kiri untuk menerima bola Fadzly Mazlan. Dibelakangnya terdapat seorang pertahanan tengah South China yang mengawal ketat.

Tanpa disedari pemain pertahanan tengah tersebut, beliau telah meninggalkan ruang yang besar untuk dieksploit Safee Sali dan Leandro Velazquez.

Gerakan satu-dua Safee dan Velazquez kemudiannya disudahi oleh rembatan melencong kaki kiri Mahali Jasuli.

jdtsc4

Dilema pertahanan

Selepas gol pertama JDT, pertahanan South China berdepan dengan satu dilema klasik. Dilema ini dihadapi oleh semua pemain pertahanan apabila mereka bertemu dengan penyerang yang gemar mengutip bola di kawasan sayap.

A. Ikut lariannya dan berisiko meninggalkan ruang ATAU
B. Biarkan sahaja dia menerima bola dan berisiko membiarkan pasukan lawan memegang bola di kawasan kubu anda?

Dalam kes gol kedua JDT, pertahanan South China memilih pilihan kedua.

Pemain pertahanan di belakang Figueroa memilih untuk membiarkan Figueroa menerima bola dengan harapan perangkap ofsaid pasukannya menjadi. Tetapi sebaliknya yang berlaku.

Perangkap ofsaid South China tak menjadi. Kini Figueroa mempunyai bola di kawasan paling berbahaya – di channel kiri di mana beliau boleh menggunakan kaki paling kuatnya, kiri.

jdtsc5

Figueroa membuat hantaran lintang rendah dari kiri yang ditampan oleh penjaga gol South China, Christian Mora.

Tetapi tampanannya lemah dan singgah di kaki Safee Sali untuk memberi gol ke-2 JDT.

Kesilapan pertahanan

Elemen kesilapan individu turut tidak terlepas dalam perlawanan semalam.

Gol tunggal South China berpunca daripada kegagalan Hariss Harun mengikuti larian near post Bojan Malisic ketika sepakan sudut.

Ketika mereka mempunyai peluang sepakan penalti, mereka mensia-siakan pula peluang.

Gol ke-3 JDT pula berpunca daripada kesilapan Jack Sealy yang silap menanduk ke belakang selepas diberi tekanan oleh Safee Sali. Tandukan Sealy disalah agak oleh penjaga gol Christian Mora dan muntah di laluan Safee Sali.

JDT bermain 10 orang

Selepas Luciano Figueroa dibuang padang, taktikal JDT berubah kepada 4-4-1 dengan Safee Sali menjadi penyerang tunggal.

JDT mula bertahan dengan 8 pemain (tak termasuk penjaga gol) di belakang bola dan 2 benteng pertahanan yang dihuni 4 pemain (two banks of four).

Pada ketika ini South China sudah sepatutnya boleh meletakkan 4 pemain sebagai penyerang dengan 2 bek (kiri dan kanan) berfungsi sebagai pemain sayap.

Dengan JDT yang hanya mempunyai 1 penyerang, 2 pertahanan di belakang sudah mencukupi.

Tetapi South China masih lagi agak pasif ketika menyerang. Serangan mereka mudah dibaca dan perlahan.

Maka tidak hairanlah satu-satunya peluang keemasan mereka hanya hadir melalui sepakan penalti. Yang disia-siakan.

Baca juga: MAMPUKAH PAHANG MENEWASKAN TUNJANG SKUAD KEBANGSAAN TAJIKISTAN?

Sumber: AFC, TV9

comments