Piala Malaysia 2015: Kelantan 1-1 Felda United
|
Perlawanan kedua peringkat kumpulan antara Kelantan dan Felda United di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.
Kedua-dua jaringan terhasil pada separuh masa kedua dengan Gilmar Filho bagi Kelantan dan Ahmad Syamim Yahya untuk pasukan Felda United.
Kecederaan Iwuji
Gandingan hadapan Iwuji Amutu dan Gilmar Filho pada 19 minit pertama sangat mengujakan penyokong Kelantan. Dengan Gilmar bijak membuat hantaran dicelah-celah pemain pertahanan Felda United dan Iwuji Amutu yang laju meloloskan diri membuatkan pertahanan Felda United kucar-kacir. Namun selepas Iwuji dikeluarkan, digantikan dengan Carillo, jelas barisan serangan Kelantan kurang berupaya jika dibandingkan semasa Iwuji beraksi.
Selepas itu Felda United telah mula berjaya menguasai permainan dengan bebanan pertahanan berkurangan dan Zah Rahan Krangar sedikit demi sedikit mula mengatur serangan ke kubu Kelantan.
Separuh masa pertama tamat tanpa sebarang jaringan walaupun Kelantan mampu sekurang-kurangnya untuk mendahului Felda United 2-0 tetapi dikecewakan oleh beberapa percubaan yang terkena tiang dan palang gol sahaja.
Gol Pertama Kelantan – Gilmar Filho
Kelantan dengan pantas mengatur gerakan bermula separuh masa kedua untuk mencari gol pendahuluan. Gol pertama muncul pada minit 48, apabila rembatan deras Wan Zaharulnizam dari luar kotak penalti hanya mampu ditepis keluar oleh Farizal Harun dan Gilmar yang sudah berada dilaluan bola bersahaja memasukkan bola kedalam gol.
Penguasaan Felda United
Dengan kelonggaran permainan Kelantan pada sebahagian besar babak kedua terutama selepas gol pertama, Felda United berjaya mengimbangi tempo dan memulakan strategi mencari gol penyamaan. Khairul Fahmi bertindak cemerlang untuk menggagalkan beberapa percubaan dari pemain Felda United yang jelas lebih dominan terutama Makeche Ndumba dan Indra Putra. 15 minit sahaja diperlukan Felda United untuk meruntuhkan kubu Kelantan apabila Ahmad Syahmim Yahya yang tidak dikawal Norhazrul merembat kencang hantaran lintang dari Zah Rahan krangar di sebelah kiri gol.
Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan.
Dalam saingan kumpulan C, Kelantan dan Felda United masing-masing mengutip 4 mata hasil 1 kemenangan dan 1 seri. T-Team dan Selangor akan bertembung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah esok.
Next : Dettmar Cramer Meninggal Dunia Pada Umur 90 Tahun