PENJELASAN FAM BERHUBUNG ISU DUIT PENSWASTAAN LIGA DAN KORUPSI

Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Share on Reddit0
maxresdefault

Berikutan beberapa isu semasa membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kebelakangan ini, saya hari ini ingin memberikan beberapa fakta bagi menjelaskan perkara-perkara berkenaan.

Pengagihan hasil perolehan liga Malaysia musim 2016

Pertamanya, pecahan peratusan pengagihan hasil perolehan Liga Malaysia (Liga-M) mulai musim 2016 sebenarnya baru di peringkat cadangan yang telah dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bersidang sebelum ini.

Namun jumlah peratusan sebenar pecahan peratusan berkenaan masih belum diputuskan atau dimuktamadkan sepenuhnya kerana FAM masih dalam proses untuk menetapkannya.

Mengikut cadangan yang diumumkan sebelum ini, 30 peratus diagihkan kepada pasukan-pasukan bertanding, 20 peratus kepada Football Malaysia LLP (FMLLP) untuk kos operasi dan pengurusan pertandingan, 10 peratus untuk tujuan pembangunan bola sepak termasuk pengadilan, kejurulatihan dan pemain.

Baki selebihnya iaitu 40 peratus kekal menjadi hak milik FAM selaku pemegang hak milik intelektual Liga-M.

Jumlah hasil perolehan sebanyak RM70 juta setahun adalah jaminan pulangan yang dinyatakan oleh MP Silva yang mana jumlah berkenaan sebenarnya turut boleh melebihi daripada itu jika mereka berjaya mendapatkan hasil komersial yang lain.

Jadi mengapa FAM perlu mendapat 40 peratus daripada hasil pecahan pengagihan hasil perolehan Liga-M itu?

Ini kerana FAM pada dasarnya memerlukan purata RM70 juta sebagai perbelanjaan tahunan persatuan bagi menguruskan pasukan-pasukan kebangsaan dari peringkat remaja hingga senior termasuk skuad Harimau Malaya dan Harimau Muda serta menganjurkan pertandingan-pertandingan tempatan seperti Liga FAM, Piala Presiden, Piala Belia, Liga Futsal Kebangsaan, Piala Tun Sharifah Rodziah dan sebagainya.

Selain itu, peruntukan turut diperlukan FAM untuk menjalankan operasi sehariannya di Wisma FAM, Kelana Jaya merangkumi kos penggajian kakitangan termasuk juga para jurulatih dan tenaga teknikal yang lain.

Jadi berdasarkan hasil perolehan sebanyak RM70 juta setahun itu, FAM hanya akan mendapat RM28 juta yang mana FAM sebenarnya perlu mencari baki RM42 juta lagi untuk menampung perbelanjaan tahunannya berjumlah sekitar RM70 juta itu.

Asas cadangan untuk mengagihkan perolehan ini hampir menyerupai konsep yang diamalkan oleh FIFA dalam mengagihkan hasil perolehan daripada penganjuran Piala Dunia.

Jika dibandingkan dengan hasil pendapatan keseluruhan daripada Piala Dunia 2014 di Brazil iaitu AS$4.8 bilion, pasukan-pasukan bertanding hanya berkongsi pecahan perolehan sebanyak 13 peratus iaitu kira-kira AS$628 juta.

Kesemua negara ahli gabungan FIFA pula hanya berkongsi pecahan perolehan sebanyak 5.5 peratus iaitu kira-kira AS$268 juta.

Secara keseluruhan, pasukan bertanding akan mendapat 18.5 peratus pecahan perolehan.

Bagi FIFA pula, perolehan bersih yang diterima mereka ialah sebanyak AS$2.6 bilion selepas ditolak kos perbelanjaan keseluruhan AS$2.2 bilion iaitu kira-kira 54 peratus daripada jumlah hasil pendapatan keseluruhan Piala Dunia 2014 sebanyak AS$4.8 bilion.

Sehubungan itu, pecahan perolehan yang dicadangkan FAM adalah wajar dan bersesuaian jika dibandingkan dengan keadaan semasa termasuk apa yang dilakukan FIFA dalam menetapkan pecahan perolehan Piala Dunia 2014.

FAM gagal tangani korupsi?

Keduanya, berhubung dakwaan FAM gagal menangani korupsi, pihak persatuan sebenarnya sentiasa memandang serius hal integriti ini apabila sudah pun menubuhkan Jawatankuasa Integriti FAM sejak dari tahun 2010 dan turut mewajibkan setiap persatuan bola sepak negeri menubuhkan jawatankuasa berkenaan di peringkat negeri pada tahun 2013.

Jawatankuasa Integriti FAM yang dipengerusikan oleh Tan Sri Aseh Che Mat kini dianggotai individu-individu penting dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Antaranya Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh; Ketua Penolong Pengarah Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Bukit Aman, Dato’ Roslee Chik; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Dato’ Shamsun Baharin Mohd Jamil dan Pengarah Bahagian Risikan SPRM, Dato’ Azam Baki.

Jawatankuasa ini bertanggungjawab menapis, memeriksa pemain asing dan juga memantau liga, pemain dan pegawai bagi menghindar gejala-gejala yang tidak sihat di dalam permainan bola sepak seperti rasuah dan menentukan keputusan perlawanan.

Justeru, untuk mengatakan bahawa FAM perlu disiasat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana dakwaan FAM gagal menangani korupsi dan menyimpan pendapatan hasil perolehan adalah sesuatu yang tidak berasas.

Ini kerana, FAM sebenarnya sudah pun menjalani program penambahbaikan dalam aspek pentadbiran dan pengurusan termasuklah pengurusan kewangan dengan mengambil kira usaha untuk mengoptimumkan peluang komersial yang juga merupakan intipati utama dalam Program Prestasi FIFA (FIFA Performance Programme).

Program selama tiga tahun ini sudah pun dijalankan di FAM sejak dari tahun lalu dan pihak juruaudit dari FIFA telah beberapa kali datang ke Wisma FAM untuk menganalisis sistem operasi dan pengurusan kewangan FAM, bukannya bagi mencari salah dan silap sebaliknya melihat mana-mana ruang yang perlu diperbaiki.

Wakil-wakil juruaudit dari FIFA itu terdiri daripada Perunding Program Prestasi FIFA (Laporan Kewangan), Anter Issac; Perunding Program Win-Win FIFA, Christophe Rousseau dan Pegawai Pembangunan FIFA (ERP & FIFA Connect), Sujit Manjuran.

Respon diterima daripada juruaudit berkenaan, mereka berpuas hati dengan segala aspek yang dinilai.

Di samping itu, FAM sendiri juga ada melantik juruaudit dalaman dan juruaudit luar untuk urusan pemeriksaan rekod kewangan persatuan.

Andai ada sesuatu dilakukan FAM yang tidak sesuai dengan amalan biasa, sudah pasti FIFA secara jelas boleh mengambil tindakan terhadap FAM kerana pihak persatuan sentiasa membuka pintu kepada mereka untuk melakukan penilaian.

comments