Malaysia Tepati Sasaran Penyokong, Dibelasah 6-0 Oleh Palestin

Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Share on Reddit0
malaysiapalestin601

Skuad bola sepak Malaysia tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyangkal jangkaan penyokong mereka apabila dibelasah lagi dengan jaringan 6 gol tanpa balas. Kali ini mereka dibelasah oleh Palestin.

Palestin yang pernah menewaskan Malaysia dengan jumlah jaringan sama pada Jun lepas, mendahului anak buah Datuk Ong Kim Swee 3-0 selepas separuh masa pertama.

Dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, kumpulan A yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Amman semalam, Palestin mengambil masa 37 minit untuk membuka akaun jaringan.

Hantaran lintang pemain Palestin kelahiran Chile, Alexis Norambuena, dari sebelah kanan ditanduk keluar oleh pertahanan Malaysia.

Tetapi ia singgah terus ke kaki seorang lagi pemain Palestin kelahiran Chile, Jonathan Cantillana yang merembat masuk dari jarak dekat untuk gol pertama Palestin.

Kelemahan mental pemain Malaysia mula terserlah apabila mereka bolos lagi seminit kemudian. Kali ini, hantaran ke belakang Matthew Davies gagal dibaca oleh Razman Roslan. Abu Nahyeh pantas memintas untuk menambah gol ke-2 Palestin.

Kealpaan pemain Malaysia ketika situasi pertahanan sepakan sudut turut didedahkan Palestin apabila Abu Nahyeh sekali lagi menjaringkan gol untuk mendahului Malaysia 3-0 sejurus sebelum rehat separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua, Malaysia bermula lebih baik. Tetapi ia masih belum mampu menyaingi kepantasan tempo serangan yang dipamerkan Palestin.

Pada minit 58′, Abu Nahyeh melengkapkan hatriknya hasil hantaran yang dicipta oleh Ashraf Nu’man.

Ketika perlawanan nampak menuju ke penamatnya, Palestin mempunyai idea lain.

Disumbang oleh kurangnya tekanan kepada jentera tengah Palestin dan kelonggaran man marking pemain pertahanan Malaysia, hantaran jauh Palestin menemui larian Sameh Maaraba.

Percubaan Maaraba berjaya ditepis oleh penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, tetapi bola singgah tepat ke kaki Tamer Sayem untuk menambah gol ke-5 Palestin.

Pada minit 90′, Ashraf Nu’man menewaskan 3 pemain Malaysia di sebelah kiri untuk membuat hantaran lintang yang kemudiannya dikeluarkan oleh S. Chanturu.

Tetapi clearance Chanturu jatuh tepat kepada pemain Palestin kelahiran Slovenia, Jaka Ihbeisheh, yang membuat rembatan voli untuk memberi gol ke-6 pasukannya.

malaysiapalestin60

Dengan keputusan ini, Malaysia kekal di tangga 4 daripada 5 pasukan kumpulan A dengan 4 mata, di atas Timor Leste yang dibelasah UAE 8-0.

Untuk perlawanan seterusnya, Malaysia akan menentang UAE di Stadium Shah Alam (tanpa penonton selepas didenda FIFA) pada 17 November 2015 (Selasa).

Komen Datuk Ong Kim Swee selepas perlawanan:

“Ternyata kami cukup sukar untuk menangani bola hantaran jauh dan tinggi pasukan lawan. Itu yang menyebabkan kami dibolosi pada 10 minit terakhir babak pertama dan ia berlaku lagi pada baki lima minit terakhir babak kedua.

“Gol kedua hadir terlalu cepat selepas seminit kami dibolosi gol pertama. Saya rasa kami sudah bertahan dengan cukup baik pada 30 minit pertama dan pada masa sama turut memiliki beberapa peluang.

“Kurangnya tumpuan menuju penghujung babak pertama terutama gol kedua yang hadir terlalu cepat telah membunuh kami dan apabila ketinggalan 3-0 pada babak pertama, ia meletakkan kami dalam situasi cukup sukar.

“Sudah tentu saya tak menjangka yang kami akan tewas dengan jaringan besar lagi seperti apa yang berlaku sebelum ini. Ia keputusan yang teruk.

“Tapi pada masa yang sama, Palestin memang beraksi dengan cukup baik. Kami cuba menyaingi mereka tetapi ternyata kami masih jauh. Kami tewas kepada pasukan yang lebih baik.

“Apa pun pemain sudah beri segalanya tetapi masih belum mencukupi. Margin gol yang kami bolos cukup teruk dan seperti apa yang anda lihat, banyak perkara yang perlu kami perbaiki.

“Apa yang penting sekarang, kami perlu pandang ke hadapan untuk perlawanan berikutnya bertemu UAE di Stadium Shah Alam, Selasa ini. Apa saja perubahan yang perlu dibuat, kami akan buat.

“Saya tahu UAE bukan lawan yang mudah tetapi pemain perlu segera bangkit daripada kekalahan ini.”

Sumber: FAM

Sila like fanpage Football Channel Malaysia dan ikuti twitter Football Channel MY

comments