Evan Dimas Tolak Tawaran Bermain Di Espanyol Kerana Takut Malu
|
Bekas kapten timnas bawah-19 Indonesia, Evan Dimas dilaporkan sedang berkira-kira untuk menolak tawaran kontrak setengah musim daripada pasukan liga ke-3 Sepanyol, Espanyol B, menurut laporan media Indonesia.
Pemain berbakat besar Persebaya Surabaya yang baru berusia 20 tahun ini mendapat tawaran tersebut pada hujung tahun 2015 selepas syarikat sukan Indonesia, Nine Sports berjaya meyakinkan Espanyol B untuk mencuba bakat Dimas.
Dimas dijadualkan akan menjalani program latihan khas dalam aspek taktikal dan fizikal bersama pihak Espanyol B sebelum diserap masuk dalam pasukan.
Takut malu selepas pernah gagal
CEO Persebaya Surabaya, Gede Widiade dilaporkan sudah memberikan lesen kepadanya untuk mencuba nasib di Sepanyol.
Tetapi Dimas dilaporkan sedang berkira-kira untuk menolak tawaran ke Espanyol selepas kegagalannya mengikat kontrak semasa menjalani trial dengan satu lagi kelab Sepanyol, UE Llagostera pada Ogos 2015.

Sumber: Bola.com/Reza Khomaini
Media Indonesia meletakkan harapan tinggi kepada Messi Indonesia mereka untuk berjaya dalam trial tersebut. Tetapi Dimas gagal. Kegagalan ini membuatkan Dimas malu.
“Bukan saya tidak percaya dengan bakat yang saya miliki. Tapi saya malu kalau sudah terlanjur keluar di media, tapi tak lama di sana harus pulang lagi,” katanya.
Menurut Dimas, punca beliau tak dapat mengikat kontrak dengan kelab Sepanyol yang bermain dalam liga ke-2 Sepanyol itu adalah kerana beliau diletakkan di posisi sayap (posisi semulajadinya adalah di tengah, belakang penyerang) dan terlalu kurus.
Gaji rendah
Selain itu, Dimas juga dilaporkan mahu menolak tawaran ke Espanyol kerana mereka hanya menawarkan gaji Rp30 juta (RM9,500) sebulan.
Ketika ini, Dimas menerima gaji sebanyak Rp10 juta (RM3,170) sebulan daripada Persebaya Surabaya.

Sumber: Bola.com / Nicklas Hanoatubun
Tetapi selepas liga domestik Indonesia diberhentikan, Dimas banyak menyertai kejohanan-kejohanan bola sepak kampung (turnamen antarkampung atau tarman) sekitar Indonesia.
Daripada tarman ini sahaja, Dimas boleh menjana pendapatan tambahan sebanyak Rp30-50 juta sebulan dengan popularitinya.
Ketika ini, Dimas sedang bermain dalam tarman di Acheh sehingga 9 Januari. Jika beliau menerima tawaran Espanyol B, beliau perlu terbang ke Sepanyol pada 12 Januari ini.
Alat komersil Espanyol

Sumber: Bola.com / Vitalis Yogi Trisna
Ada juga media Indonesia yang menyokong keputusan Dimas untuk menolak tawaran Espanyol jika beliau hanya dilihat sebagai pemain pelaris jualan tiket jelajah Espanyol ke Indonesia pada Mei 2016 nanti.
Hal ini disahkan sendiri oleh CEO Nine Sports, Arif Wicaksono yang memberitahu:
“Selain berlatih di sana, Evan juga sudah pasti akan dibawa Espanyol saat bermain di Indonesia. Evan sudah pasti akan dimainkan oleh Espanyol,” katanya.
Apa yang ditakuti adalah, Espanyol hanya akan mempergunakan Dimas untuk mempopularkan jelajah Espanyol ke Indonesia pada musim panas nanti. Selepas jelajah, kontrak Dimas tak dilanjutkan dan pulang sebagai pemain gagal sekali lagi.
Sila like fanpage Football Channel Malaysia dan ikuti twitter Football Channel MY
Next : Keputusan Penuh Undian Superbest Power Piala FA 2016