Bagaimana Mito Hollyhock, Kelab Jepun Yang Lemah Meningkatkan Populariti & Pendapatan

Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Share on Reddit0
0820-1web

Di liga-liga bola sepak Malaysia, kelab (bukan pasukan negeri) yang lemah, tak popular dan tidak mempunyai kewangan yang selesa mempunyai kebarangkalian yang besar untuk berkubur.

Jika masih wujud pun, mereka tidak lagi bermain secara profesional dan bertanding dalam Liga FAM, Liga Perdana atau Liga Super.

Tetapi lain pula ceritanya bagi sebuah kelab J2 League yang lemah, tak popular dan pernah mempunyai sejarah kewangan pasukan yang tak stabil. Nama kelab itu adalah Mito Hollyhock yang berasal dari kawasan Ibaraki prefecture (negeri).

Berbanding Kashima Antlers (juga berasal dari Ibaraki) yang lebih kuat, popular dan kaya, Mito Hollyhock perlu bergantung kepada strategi lain untuk menandingi kekuatan, kepopularan dan kekayaan mereka.

Strategi tersebut dipanggil ‘model Mito’.

Asal-usul model Mito

Model Mito diasaskan selepas Mito Hollyhock mencatatkan pendapatan kelab hanya pada sekitar 500 juta yen (RM18.7 juta) pada tahun 2015.

Pendapatan Mitto Hollyhock tidak pernah meningkat sejak sekian lama dan angka pendapatan kelab berlegar-legar sekitar 500 juta yen sahaja, sedangkan pendapatan kelab J2 yang lain semakin meningkat.

Pada tahun lepas dengan angka 500 juta yen, pendapatan Mito Hollyhock adalah yang paling rendah di kalangan kelab J2 yag lain.

Untuk memperbaiki angka pendapatan kelab, pihak pengurusan Mito Hollyhock merangka model bisnes baru yang dipanggil ‘model Mito’. Tetapi untuk melaksanakan model Mito, mereka perlukan bantuan orang Vietnam.

Apa kena-mengena orang Vietnam dengan model Mito?

Langkah pertama model Mito adalah mengenal pasti negara membangun yang rakyatnya fanatik bola sepak. Dalam kes Kunio Numata, presiden Mito Hollyhock, Vietnam adalah negara yang menepati syarat tersebut.

Langkah kedua adalah, mengenal pasti pemain muda berpotensi tinggi dari negara tersebut dan jalinkan hubungan dengan negara tersebut.

Mito Hollyhock mengenalpasti penyerang berusia 20 tahun, Nguyen Cong Phuong yang digelar ‘Messi Vietnam’ sebagai pemain yang mereka bawa bermain di J2 League.

(Sumber: JLeague.jp)

(Sumber: JLeague.jp)

Untuk memastikan kelab mereka sentiasa mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Vietnam, Mito Hollyhock membawa pegawai kerajaan Ibaraki untuk memeterai perjanjian persefahaman untuk memajukan sektor pertanian Vietnam.

Kesan model Mito

Dengan adanya pemain Vietnam bermain di J2, Mito Hollyhock mengharapkan lebih ramai peminat bola sepak Vietnam akan datang ke stadium untuk menyaksikan Nguyen Cong Phuong bermain.

Mito Hollyhock juga mengharapkan pendapatan merchandise dan pengiklanan mereka juga akan meningkat memandangkan mereka sudah mempunyai pasaran Vietnam untuk diiklankan.

Hubungan baik Mito Hollyhock dengan kerajaan Vietnam juga membolehkan lebih banyak peluang perniagaan dapat dicipta untuk kedua-dua pihak, terutamanya perniagaan dalam bidang pertanian.

Kesimpulan

Strategi model Mito ini sebenarnya sudah lama digunapakai oleh banyak kelab J League lain seperti Consodale Sapporo yang popular di Vietnam dan Indonesia.

Tetapi kesanggupan kelab kecil seperti Mito Hollyhock untuk mencuba perkara baru adalah sesuatu yang perlu dipelajari oleh pasukan bola sepak dalam liga Malaysia, terutamanya menjelang penswastaan liga secara menyeluruh pada 2019 nanti.

Sila like fanpage Football Channel Malaysia dan ikuti twitter Football Channel MY

comments