Pengenalan Kepada 18 Pasukan J1 League Untuk Musim 2016

Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Share on Reddit0
10609721_348837468598311_5747454122576772444_n

Senarai juara 2015

Juara Liga: Sanfrecce Hiroshima

Juara Yamazaki Nabisco Cup: Kashima Antlers

Juara Emperor’s Cup: Gamba Osaka

Naik ke J1 League: Omiya Ardija, Jubilo Iwata, Avispa Fukuoka

Turun ke J2 League: Matsumoto Yamaga, Montedio Yamagata, Shimizu S-Pulse

 

1) Albirex Niigata

Sumber: Facebook アルビレックス新潟/Albirex

Sumber: Facebook アルビレックス新潟/Albirex

Stadium: Stadium Denka Big Swan (kapasiti 42,300)
Purata kedatangan stadium: 23,444
Kedudukan liga musim 2015 (M-S-K): Tempat ke-15 (8-10-16)
Pencapaian musim 2015: Separuh akhir Yamazaki Nabisco Cup, pusingan ke-3 Emperor’s Cup
Pemain paling penting: Hiroshi Ibusuki

Asal-usul
Berbeza dengan majoriti kelab J1 yang berasal daripada kelab bola sepak untuk syarikat perindustrian, Albirex Niigata pada asalnya merupakan sebuah kelab amatur untuk penduduk bandar Niigata pada tahun 1955 yang diberi nama, Kelab Bola Sepak Niigata 11.

Prospek musim 2016
Sebagai pasukan kedua yang mempunyai purata kedatangan stadium yang kedua tertinggi di J1 League, bertarung di zon penyingkiran pada musim lepas bukanlah satu pencapaian yang membanggakan. Dengan kembalinya bintang muda Jepun kelahiran Jamaica, Musashi Suzuki dari pinjaman dan ketibaan bek kiri Brazil baru, Bruno Cortês, Albirex mengharapkan musim 2016 akan mengembalikan status mereka sebagai kelab pertengahan liga; bukannya kelab bawahan.

2) Avispa Fukuoka

Stadium: Stadium Level-5 (kapasiti 22,563)
Purata kedatangan stadium: 8,736
Kedudukan liga musim 2015 (M-S-K): Tempat ke-3 dalam J2 League (24-10-8)
Pencapaian musim 2015: Dipromosi ke J1 League selepas menang playoff, pusingan ke-3 Emperor’s Cup
Pemain paling penting: Lee Beom-Young

Asal-usul
Nama asal Avispa Fukuoka adalah Chuo Bohan FC, sebuah kelab bola sepak yang diasaskan pada 1982 oleh pekerja Chuo Bohan – sebuah syarikat sekuriti – yang berpusat di Fujieda, Shizuoka.

Prospek musim 2016
Sebagai salah sebuah pasukan yang menjadi pilihan utama untuk tersingkir dari J1 League musim 2016 nanti, adalah logik bagi Avispa untuk menguatkan pertahanan mereka. Kehadiran Lee Beom-Young, penjaga gol dengan ketinggian 2 meter dan Danilson, pemain tengah defensif yang keras adalah buktinya.

 

3) Gamba Osaka

Stadium: Stadium Bola Sepak Suita City (kapasiti 40,000)
Purata kedatangan stadium: 15,999
Kedudukan liga musim 2015 (M-S-K): Tempat ke-3 (18-9-7)
Pencapaian musim 2015: Naib juara Yamazaki Nabisco Cup, juara Emperor’s Cup, separuh akhir AFC Champions League 2015
Pemain paling penting: Takashi Usami

Asal-usul
Gamba Osaka diasaskan pada 1980 sebagai Kelab Bola Sepak Syarikat Elektrik Matsushita Sdn. Bhd (kini dipanggil Panasonic Corporation) di Nara (jiran Osaka) sebelum bertukar nama kepada Gamba Osaka pada 1993.

Prospek musim 2016
Satu trofi pada musim 2015 boleh dianggap satu kemerosotan jika kita mengambil kira 3 trofi yang berjaya diraih Gamba Osaka pada musim 2014. Musim ini Gamba aktif membeli pemain untuk memperbaiki pencapaian musim lepas. Kemasukan Ademilson dilihat mampu menambah sengat jentera serangan Gamba yang ketika ini dibintangi Patric dan Takashi Usami.

4) Jubilo Iwata

Stadium: Stadium Yamaha (kapasiti 15,165)
Purata kedatangan stadium: 10,041
Kedudukan liga musim 2015 (M-S-K): Tempat ke-2 dalam J2 League (24-10-8)
Pencapaian musim 2015: Pusingan ke-2 Emperor’s Cup
Pemain paling penting: Jay Bothroyd

Asal-usul
Jubilo Iwata diasaskan pada 1972 sebagai pasukan bola sepak untuk pekerja syarikat Yamaha Motor Corporation yang berpusat di bandar Iwata, Shizuoka.

Prospek musim 2016
Jubilo Iwata mungkin tak perlu risau dengan masalah kemarau gol selagi adanya penjaring terbanyak J2 musim lepas, Jay Bothroyd dan pemain tengah kreatif, Daisuke Matsui. Tetapi rekod musim lepas juga menunjukkan rekod pertahanan Jubilo tak begitu memberansangkan. Untuk memperbaiki situasi ini, Jubilo banyak mengambil pemain 30-an, dengan harapan pengalaman mereka mampu sekurang-kurangnya mengekalkan Jubilo dalam J1 buat semusim lagi.

5) Kashima Antlers

Stadium: Stadium Bola Sepak Kashima (kapasiti 40,728)
Purata kedatangan stadium: 16,423
Kedudukan liga musim 2015 (M-S-K): Tempat ke-5 (18-5-11)
Pencapaian musim 2015: Juara Yamazaki Nabisco Cup, pusingan ke-3 Emperor’s Cup, peringkat kumpulan AFC Champions League
Pemain paling penting: Caio

Asal-usul
Kashima Antlers ditubuhkan pada 1947 sebagai Kelab Bola Sepak Kilang Industri Besi Sumitomo (kini dikenali sebagai Nippon Steel & Sumitomo Metal) yang berpusat di Osaka, sebelum berpindah ke bandar Kashima, Ibaraki pada 1975.

Prospek musim 2016
Kegagalan melayakkan diri ke AFC Champions League pada musim ini mungkin boleh memberi selera lebih kepada Kashima Antlers untuk tampil lebih kompetitif dalam liga. Apatah lagi dengan penambahan pemain tengah, Mu Kanazaki yang cemerlang semasa tempoh pinjaman dari kelab Portugal, Portimonense pada musim lepas. Bagaimapun kekurangan pemain berpengalaman di jentera pertahanan mereka mungkin akan memberi sedikit masalah pada musim ini.

6) Kashiwa Reysol

Stadium: Stadium Bola Sepak Hitachi (kapasiti 15,900)
Purata kedatangan stadium: 10,918
Kedudukan liga musim 2015 (M-S-K): Tempat ke-10 (12-9-13)
Pencapaian musim 2015: Suku akhir Yamazaki Nabisco Cup, separuh akhir Emperor’s Cup, suku akhir AFC Champions League
Pemain paling penting: Hidekazu Otani

Asal-usul
Kasiwa Reysol ditubuhkan pada 1940 sebagai Kelab Bola Sepak Hitachi Berhad di pekan Kodaira, Tokyo sebelum berpindah ke bandar Kashiwa, Chiba pada 1986.

Prospek musim 2016
Sejak dua musim lepas, Kashiwa Reysol mempunyai reputasi bermain dengan baik di kejohanan peringkat Asia, tetapi mengecewakan dalam liga. Musim ini dengan ketiadaan aksi AFC Champions League, ketibaan ketua jurulatih baru, Milton Mendes dan kepulangan semula bekas penyerang, Junya Tanaka dari Sporting Lisbon, Kashiwa berada di landasan tepat untuk memperbaiki kedudukan ke-10 mereka di liga pada musim lepas.

 

7) Kawasaki Frontale

Stadium: Stadium Olahraga Todoroki (kapasiti 26,232)
Purata kedatangan stadium: 20,999
Kedudukan liga musim 2015 (M-S-K): Tempat ke-6 (17-6-11)
Pencapaian musim 2015: Peringkat kumpulan Yamazaki Nabisco Cup, pusingan ke-4 Emperor’s Cup
Pemain paling penting: Yoshito Okubo

Asal-usul
Kawasaki Frontale diasaskan pada 1955 sebagai kelab bola sepak untuk pekerja syarikat Fujitsu di bandar Kawasaki, Kanagawa.

Prospek musim 2016
Kemasukan Takayuki Morimoto pada musim ini dijangka akan menambah sengat penyudah Yoshito Okubo, penyerang terbanyak liga pada musim lepas. Bagaimanapun kebimbangan utama penyokong Kawasaki Frontale adalah kerapuhan benteng pertahanan mereka. Pengurusan Kawasaki menjawab kebimbangan tersebut dengan membawa masuk Tatsuki Nara. Tetapi pada usia 22 tahun, Nara tidak mempunyai pengalaman untuk memimpin pasukannya menjulang trofi.

8) Nagoya Grampus

Stadium: Stadium Toyota (kapasiti 45,000)
Purata kedatangan stadium: 16,240
Kedudukan liga musim 2015 (M-S-K): Tempat ke-9 (13-7-14)
Pencapaian musim 2015: Suku akhir Yamazaki Nabisco Cup, pudingan ke-2 Emperor’s Cup
Pemain paling penting: Kensuke Nagai

Asal-usul
Nagoya Grampus diasaskan sebagai Kelab Bola Sepak Toyota Motor pada 1939 di bandar Nagoya, Aichi.

Prospek musim 2016
Dengan melepaskan lebih 13 pemain musim lepas, Nagoya Grampus membuat kenyataan jelas untuk membawa kelab ke haluan baru di bawah ketua jurulatih baru, Takafumi Oguro. Kebanyakan pemain mereka yang baru masuk adalah pemain veteran dan pemain tak terkenal seperti Ludvig Öhman dan Robin Simović. Jika Nagoya dapat mengekalkan status kelab pertengahan mereka seperti musim lepas pada tempoh peralihan ini, ia boleh dianggap satu kejayaan.

9) Omiya Ardija

Stadium: Stadium Omiya NACK5 (kapasiti 15,500)
Purata kedatangan stadium: 9,490
Kedudukan liga musim 2015 (M-S-K): Juara J2 League (26-8-8)
Pencapaian musim 2015: Pusingan ke-3 Emperor’s Cup
Pemain paling penting: Dragan Mrdja

Asal-usul
Omiya Ardija diasaskan sebagai Kelab Bola Sepak Nippon Telegraph and Telephone (NTT) pada 1969 di bandar Omiya, Saitama.

Prospek musim 2016
Ketiadaan pemain bintang yang berkualiti mungkin membuatkan penyokong Omiya Ardija sedikit risau dengan peluang pasukan mereka untuk kekal di J1. Malah hampir semua pemain baru mereka berasal dari pasukan J2 pada musim lepas seperti Yuzo Iwakami dan Ataru Esaka. Walaupun pemain-pemain Omiya tak terkenal, mereka mempunyai pengalaman, keserasian dan sikap bekerja keras untuk pasukan.

10) Sagan Tosu

Stadium: Stadium Tosu (kapasiti 24,000)
Purata kedatangan stadium: 13,450
Kedudukan liga musim 2015 (M-S-K): Tempat ke-11 (9-13-12)
Pencapaian musim 2015: Peringkat kumpulan Yamazaki Nabisco Cup, suku akhir Emperor’s Cup
Pemain paling penting: Yohei Toyoda

Asal-usul
Pada asalnya Sagan Tosu dikenali sebagai kelab bola sepak untuk syarikat pendidikan dan motivasi dari Amerika Syarikat, PJM Futures di Shizuoka pada 1987.

Prospek musim 2016
Musim ini Sagan Tosu beralih kepada bekas pengurus FC Tokyo, Massimo Ficcadenti untuk mengemudi pasukan. Kecuali Yohei Toyoda, Ficcadenti akan mendapati kualiti pemain Sagan Tosu jauh lebih rendah berbanding pemain FC Tokyo. Jadi beliau perlu membina skuad yang memaksimumkan kebolehan Toyoda untuk membolehkan Sagan Tosu keluar dari kelompok pertengahan liga.

 

11) Sanfrecce Hiroshima

Stadium: Hiroshima Big Arch (kapasiti 50,000)
Purata kedatangan stadium: 16,382
Kedudukan liga musim 2015 (M-S-K): Juara (23-5-6)
Pencapaian musim 2015: Peringkat kumpulan Yamazaki Nabisco Cup, suku akhir Emperor’s Cup
Pemain paling penting: Toshihiro Aoyama

Asal-usul
Sanfrecce Hiroshima ditubuhkan pada 1938 sebagai Kelab Bola Sepak Toyo Kogyo (kini dipanggil Mazda) yang berpusat di Hiroshima.

Prospek musim 2016
Tak banyak perubahan dilakukan oleh Sanfrecce Hiroshima untuk musim 2016 meskipun muncul juara liga pada musim lepas. Penyerang Brazil, Douglas digantikan oleh Peter Utaka. Jurang kualiti antara pemain kesebelasan utama dengan simpanan mereka pula masih tinggi. Jadi Sanfrecce perlu mengorbankan kempen AFC Champions League mereka untuk mempertahankan kejuaraan liga pada musim ini.

12) Shonan Bellmare

Stadium: Stadium Shonan BMW Hiratsuka (kapasiti 18,500)
Purata kedatangan stadium: 12,208
Kedudukan liga musim 2015 (M-S-K): Tempat ke-8 (13-9-12)
Pencapaian musim 2015: Peringkat kumpulan Yamazaki Nabisco Cup, pusingan ke-3 Emperor’s Cup
Pemain paling penting: Kaoru Takayama

Asal-usul
Shonan Bellmare diasaskan pada 1968 sebagai Kelab Bola Sepak Syarikat Estet Towa yang berpusat di bandar Nasu, Tochigi. Apabila Syarikat Estet Towa dibeli oleh sebuah syarikat pembuat plastik Fujita Kogyo, nama kelab ditukar kepada Kelab Bola Sepak Fujita Kogyo dan mereka berpindah ke bandar Hiratsuka, Kanagawa.

Prospek musim 2016
Sebagai salah sebuah pasukan yang paling muda di liga, pencapaian tangga ke-8 liga oleh Shonan Bellmare adalah sebuah pencapaian yang memberansangkan. Tetapi dengan ketiadaan Wataru Endo (ke Urawa Reds), Yota Akimoto (ke FC Tokyo), Ryota Nagaki (ke Kashima Antlers) dan Shota Kobayashi (ke Nagoya Grampus), Shonan mungkin berdepan kesukaran untuk mengulangi pencapaian sama, apatah lagi memperbaikinya.

13) FC Tokyo

Stadium: Stadium Ajinomoto (kapasiti 49,970)
Purata kedatangan stadium: 28,784
Kedudukan liga musim 2015 (M-S-K): Tempat ke-4 (19-6-9)
Pencapaian musim 2015: Suku akhir Yamazaki Nabisco Cup, suku akhir Emperor’s Cup
Pemain paling penting: Masato Morishige

Asal-usul
FC Tokyo bermula sebagai kelab bola sepak untuk pekerja syarikat Tokyo Gas pada 1935.

Prospek musim 2016
Perubahan terbesar FC Tokyo pada musim ini adalah kemasukan ketua jurulatih baru, Hiroshi Jofuku yang menggantikan Massimo Ficcadenti. Jofuku gemar pasukannya melakukan transisi serangan yang pantas dalam formasi 4-4-1-1. Dua pemain barunya – Takuma Abe dan Kota Mizunuma – dijangka akan menyerlah dalam sistem ini.

14) Urawa Red Diamonds

Stadium: Stadium Saitama 2002 (kapasiti 63,700)
Purata kedatangan stadium: 38,745
Kedudukan liga musim 2015 (M-S-K): Tempat ke-2 (21-9-4)
Pencapaian musim 2015: Suku akhir Yamazaki Nabisco Cup, naib juara Emperor’s Cup, peringkat kumpulan AFC Champions League
Pemain paling penting: Yuki Muto

Asal-usul
Ditubuhkan pada 1950 di bandar Kobe, Urawa Red Diamonds pada mulanya adalah kelab bola sepak untuk pekerja Syarikat Perindustrian Berat Shin-Mitsubishi (kini dikenali sebagai Mitusbishi Motors).

Prospek musim 2016
Jika dibandingkan dengan musim-musim sebelumnya, musim ini Urawa Red Diamonds agak berhati-hati dalam perbelanjaan pemain baru. Bintang muda Shonan Bellmare, Wataru Endo merupakan satu-satunya kemasukan pemain berprofil tinggi untuk Urawa pada musim ini. Tetapi dengan kualiti pemain yang mereka ada ketika ini, Urawa sepatutnya boleh mencabar kejuaraan liga dan AFC Champions League secara serius.

 

15) Vegalta Sendai

Stadium: Stadium Yurtec Sendai (kapasiti 19,694)
Purata kedatangan stadium: 13,791
Kedudukan liga musim 2015 (M-S-K): Tempat ke-14 (9-8-17)
Pencapaian musim 2015: Peringkat kumpulan Yamazaki Nabisco Cup, suku akhir Emperor’s Cup
Pemain paling penting: Ryang Yong-Gi

Asal-usul
Vegalta Sendai diasaskan pada 1988 sebagai Kelab Bola Sepak Syarikat Elektrik Tohoku yang berpusat di bandar Sendai, Miyagi.

Prospek musim 2016
Sebagai kelab yang mempunyai keupayaan kewangan yang rendah, Vegalta Sendai jarang dapat menarik pemain berkualiti, kecuali pemain veteran. Ini bermakna Vegalta masih perlu mengharapkan servis berkualiti daripada pemain veteran seperti Yasuhiro Hiraoka dan bekas pemain Celtic FC, Koki Mizuno. Inilah situasi Vegalta pada setiap musim. Maka tak hairanlah mereka sentiasa berada dalam kelompok bawahan liga.

16) Ventforet Kofu

Stadium: Stadium Yamanashi Chou Bank (kapasiti 17,000)
Purata kedatangan stadium: 11,297
Kedudukan liga musim 2015 (M-S-K): Tempat ke-13 (10-7-17)
Pencapaian musim 2015: Peringkat kumpulan Yamazaki Nabisco Cup, pusingan ke-4 Emperor’s Cup, suku akhir AFC Champions League
Pemain paling penting: Cristiano

Asal-usul
Ventforet Kofu pada asalnya dikenali sebagai Kofu Club pada 1965, sebuah kelab bola sepak yang dianggotai oleh bekas pelajar Kofu Dai-ichi High School di bandar Kofu, Yamanashi.

Prospek musim 2016
Pada setiap musim potensi keupayaan Ventforet Kofu sentiasa dihadkan oleh bajet kecil. Oleh itu Ventforet hanya mampu menarik pemain veteran seperti Yusuke Tanaka dan Masato Kurogi pada musim ini. Bagaimanapun kehadiran semula Cristiano, yang berkembang menjadi penyerang prolifik di Kashiwa Reysol, seharusnya memberi rasa optimis untuk Kofu mengelak zon penyingkiran liga sekali lagi.

17) Vissel Kobe

Stadium: Stadium Misaki Park Kobe City (kapasiti 30,132)
Purata kedatangan stadium: 16,265
Kedudukan liga musim 2015 (M-S-K): Tempat ke-12 (10-8-16)
Pencapaian musim 2015: Separuh akhir Yamazaki Nabisco Cup, suku akhir Emperor’s Cup, suku akhir AFC Champions League
Pemain paling penting: Kazuma Watanabe

Asal-usul
Vissel Kobe ditubuhkan pada 1966 sebagai kelab bola sepak untuk Syarikat Besi Kawasaki yang berpusat di bandar Kurashiki, Okayama.

Prospek musim 2016
Disebalik persembahan buruk Vissel Kobe di bawah kendalian Nelsinho Baptista pada musim lepas, pihak pengurusan mereka bersedia memberi satu lagi peluang pada musim ini. Nelsinho bertindak dengan mengeluarkan beberapa pemain tua dan membawa masuk pemain muda seperti Yudai Tanaka, Taisuke Muramatsu dan Naoyuku Fujita. Jika Vissel masih gagal memperbaiki kedudukan musim lepas, Nelsinho mungkin akan dipecat.

18) Yokohama F. Marinos

Stadium: Stadium Antarabangsa Yokohama (kapasiti 72,327)
Purata kedatangan stadium: 24,221
Kedudukan liga musim 2015 (M-S-K): Tempat ke-7 (15-10-9)
Pencapaian musim 2015: Peringkat kumpulan Yamazaki Nabisco Cup, pusingan ke-4 Emperor’s Cup, suku akhir AFC Champions League
Pemain paling penting: Shunsuke Nakamura

Asal-usul
Yokohama F Marinos ditubuhkan pada 1972 sebagai kelab bola sepak untuk pekerja Nissan Motors yang berpusat di Yokohama.

Prospek musim 2016
Aktiviti Yokohama F. Marinos semasa sebelum musim bermula tidak menunjukkan sebarang petanda mereka akan ‘meremajakan’ semula pasukan. Kebanyakan pemain yang dibawa masuk langsung tiada kualiti untuk menggantikan kaliber pemain veteran seperti Shunsuke Nakamura, Yuji Nakazawa (kedua-duanya 37) dan Yuzo Kurihara (33). Dengan kualiti yang ditampilkan oleh Gamba Osaka, Urawa Reds, Sanfrecce Hiroshima, Kawasaki Frontale dan FC Tokyo, sasaran Yokohama menamatkan liga di tempat empat teratas nampak sukar.

Sila like fanpage Football Channel Malaysia dan ikuti twitter Football Channel MY

comments