Minggu 2: Rekod Penjaring Terbanyak J1 League Pecah, Urawa Tumbang Mengejut

Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0Share on Reddit0
urawa-jubilo

Minggu kedua J1 League menyaksikan Urawa tumbang mengejut di halaman sendiri kepada Jubilo Iwata.

Pasukan yang baru dipromosi, Omiya Ardija pula mengekalkan rekod 100% kemenangan untuk mendahului takhta liga. Turut mencatatkan rekod kemenangan 100% adalah Kashima Antlers, yang berada di tangga kedua atas perbezaan jumlah gol.

Rekod baru penjaring terbanyak liga

Minggu ini juga menyaksikan rekod penjaring terbanyak sepanjang masa J1 League dipecahkan oleh penyerang veteran Sanfrecce Hiroshima, Hisato Sato. Sato (gambar bawah) kini merupakan penjaring terbanyak liga dengan 158 gol.

Bagaimanapun 1 gol yang disumbang oleh Sato masih tak dapat membawa pasukannya kemenangan pertama dalam liga pada musim ini. Hiroshima sekadar seri 1-1 dengan Nagoya Grampus.

Tetapi rekod Sato mungkin akan dipecahkan lagi pada minggu-minggu akan datang. Jika bukan oleh beliau, mungkin oleh penyerang veteran Kawasaki Frontale, Yoshito Okubo.

Okubo (gambar bawah) turut menjaringkan 1 gol untuk menjadi penjaring kedua terbanyak liga dengan 157 gol, kurang satu daripada rekod Sato.

Tetapi seperti Sato, Okubo juga gagal membantu pasukannya untuk menang. Kawasaki seri 4-4 dalam perlawanan yang mendebarkan ketika menentang Shonan Bellmare.

Seperti yang kami tulis dalam artikel preview pasukan J1 League sebelum ini, Kawasaki goyah di bahagian pertahanan sehingga mensia-siakan sumbangan jentera serangannya.

Penjaga gol Kawasaki, Jung Song Ryong perlu menyalahkan dirinya sendiri kerana kesilapannya menghadiahkan 2 gol buat Shonan.

Kashima Antlers, Omiya Ardija terus cemerlang

Sesuai dengan status mereka sebagai salah satu pencabar kejuaraan liga, Kashima Antlers menepati jangkaan untuk menang 1-0 menentang Sagan Tosu.

Kashima menguasai sebahagian besar perlawanan dan mencipta lebih banyak peluang, tetapi tidak mampu menambah jaringan awal Mu Kanazaki pada minit 31′.

Sekali-sekala Sagan Tosu mengancam Kashima juga terutamanya dalam separuh masa kedua, tetapi unit pertahanan Kashima terlalu kebal bagi Yohei Toyoda dan rakan-rakannya.

Omiya Ardija mungkin baru dipromosi dari J2 League, tetapi mereka menunjukkan cita-cita besar dalam J1 League melalui kemenangan 2-0 ke atas Kashiwa Reysol.

Adakah Omiya mampu mengulangi pencapaian 2011 Kashiwa Reysol yang muncul juara J1 selepas baru dipromosi dari J2?

Gamba Osaka, FC Tokyo bangkit

Selepas mempamerkan persembahan buruk untuk kalah 0-1 kepada Kashima Antlers pada perlawanan pembukaan di halaman sendiri, Gamba Osaka bangkit pada minggu ini untuk menewaskan Ventforet Kofu 1-0.

FC Tokyo pula meneruskan rentak kemenangan mereka yang bermula dalam kempen AFC Champions League, untuk menang tipis 2-1 ke atas Vegalta Sendai.

Sementara itu, Shunsuke Nakamura kembali daripada kecederaan untuk menjaringkan gol sepakan percuma cantik yang memberi Yokohama F. Marinos 1 mata ketika seri 1-1 menentang pasukan baru dipromosi, Avispa Fukuoka.

Vissel Kobe pula berpesta gol menentang Albirex Niigata untuk menang 6-3 dalam perlawanan yang memuaskan hati penyokong neutral, tetapi tidak bagi jurulatih pertahanan kedua-dua pasukan.

Dalam perlawanan ini, 3 pemain berjaya menjaringkan 2 gol. Pedro Junior yang bermula dari bangku simpanan dan Takahito Soma masing-masing menjaringkan 2 gol untuk Kobe. Rafael Silva pula menyumbang 2 gol untuk Albirex.

Urawa tumbang lagi

Meskipun mempunyai skuad yang kuat dan dipenuhi oleh pemain bintang, Urawa Red Diamonds masih gagal menumpaskan satu lagi pasukan yang baru dipromosi Jubilo Iwata dalam perlawanan penuh mendebarkan semalam.

Urawa tewas 1-2, selepas Jay Bothroyd menjaringkan gol pada minit 82′ untuk Iwata.

Kegagalan Urawa untuk menang menentang pasukan kecil seperti Iwata seakan-akan sudah menajdi tema kejatuhan mereka sejak 3 musim lepas. Meskipun mendapat pelaburan besar daripada Mitsubishi, Urawa masih gagal mengulangi era dominasi mereka pada 2005, 2006 dan 2007 dahulu.

Adakah musim ini Urawa dapat mengubahnya? Atau adakah penyokong Urawa bakal dikecewakan sekali lagi? Sama-sama kita saksikan aksi J1 League pada musim ini.

Sila like fanpage Football Channel Malaysia dan ikuti twitter Football Channel MY

comments